Monday 12 October 2015

Entri #1 Salam Perkenalan

Teks : Nur Hasliza Hamar
 
34 tahun yang lalu saya dilahirkan di Hospital Raub, Pahang. Sebuah bandar kecil yang kaya dengan emas suatu ketika dahulu. Nama Raub pula di ambil dari perkataan raut iaitu kata kerja untuk aktiviti meraut (mengaut) emas dengan tangan. Itu sedikit dari sejarah tempat kelahiran saya.
 
Tanggal 8 Julai 1981, seorang bayi perempuan dilahirkan dan dinamakan Nur Hasliza Hamar.Saya merupakan  anak bongsu dari tiga beradik dan mempunyai seorang abang serta kakak yang meninggal dunia selepas dilahirkan. Kami merupakan anak kepada pasangan Hamar bin Sharkawi dan Zalmah bt. Ab Manaf. Ayah merupakan seorang guru dan ibu merupakan kerani di sebuah syarikat swasta.
 
Pendidikan awal saya adalah disekitar Bandar Raub. Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raub, melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Al-Falah Batu Talam dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Episod penghijrahan saya bermula apabila saya berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Ugama (A) Saniah, Pasir Putih Kelantan yang kini telah dinaiktaraf sebagai Maahad Saniah. Belajar berdikari jauh dari ibu ayah.
 
Pendidikan menengah di Kelantan saya tamatkan sehingga tingkatan 6 atas dan menghadapi peperiksaan besar setiap tahun. Itulah sekolah agama. Sijil Rendah Ugama (Tingkatan 4), Sijil Pelajaran Malaysia (Tingkatan 5), Sijil Tinggi Ugama (Tingkatan 6 Bawah) & Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
 
Saya pernah menjadi guru ganti sementara menunggu keputusan STPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam serta menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Muda (Sains) Pengurusan Maklumat pada tahun 2003.
 
Latihan praktikal di perpustakaan Universiti Selangor (UNISEL) menyemarakkan langkah saya untuk tidak berdiam diri selepas tamat pengajian. Saya punya peluang untuk menjadi kakitangan di UNISEL. Namun karakter saya yang tidak boleh duduk di satu tempat membuatkan saya mencari tempat yang serasi dengan jiwa saya. Kerja di Cyber Café, berjinak dengan penjilidan, bisnes kad nama kecil-kecilan, menjadi home tutor dan menjadi eksekutif pemasaran di sebuah kolej swasta di Shah Alam.
 
Pelbagai jenis kerja dibuat sehingga saya mendapat pekerjaan di Institut Perkembangan Minda (INMIND) setelah disyorkan oleh seorang pensyarah iaitu En Mohd Alwi Yunus. Saya tekad menguji nasib dan Alhamdulillah saya terpilih dari belasan calon yang hadir. INMIND rupanya menjadi tempat kerja yang paling dekat di hati saya dipenuhi ilmu dunia akhirat, perkongsian dan pengajaran. Kemahiran saya digilap dalam bidang penulisan, pengurusan latihan dan acara, penerbitan dan suntingan. Sangat bermakna dan saya tidak mahu sia siakannya.
 
Organisasi itu adalah dunia yang  membuatkan saya rindu untuk menyumbang tenaga dan ilmu kepada masyarakat. Dunia yang melahirkan pemimpin dan nama besar seperti YB. Dato' Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak dan selainnya. Program yang melibatkan tokoh pemimpin hebat, cendekiawan negara, ilmuan dan agamawan, pakar-pakar motivasi, pemikir-pemikir yang idealis dan realistik membuatkan saya berasa teruja dalam bidang ini. Bidang pengurusan pengetahuan yang amat luas tiada penghujungnya.
 
Akhir kata, semoga Allah menjadikan kita semua manusia yang memberikan manfaat kepada orang lain. 
 
 
 

No comments:

Post a Comment